Search This Blog

Friday, 18 March 2011

TERAS, FALSAFAH, PRINSIP

DAN

ETIKA PENGURUSAN ISLAM

 


ETIKA KERJA MENURUT ISLAM


2.4.1      Isu

Pertama; Apakah sebabnya wujud fenomena negatif dalam organisasi kini seperti curi tulang, tidak hadir dan ponteng kerja, membuang masa, kerja sambil lewa, pecah amanah, gangguan seks, pergaduhan, surat layang, layanan yang tidak mesra pelanggan dan pelbagai perkara yan melanggar etika perkhidmatan telah berlaku dengan leluasa?

Kedua; Apakah amalan negatif ini berlaku kerana ketiadaan suatu peraturan tatasusila (etika) sebagai garis panduan kepada para pekerja dalam melaksanakan kerja mereka? Atau disebabkan etika yang ada lebih bersifat falsafah yang terlalu sukar tuntuk diterjemahkan dalam realiti seharian? Atau kerana sistem latihan kakitangan lebih menekankan kemahiran bekerja berbanding dengan pendidikan dan penghayatan nilai-nilai murni? Atau kerana faktor kemanusiaan itu sendiri?

Ketiga; Apakah wujud praktis etika kerja Islam dalam pengurusan kini dan bagaimanakah ia diterapkan kepada kakitangan demi meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap kerja mereka dalam usaha untuk mencapai visi/misi organisasi yang didukungi?


2.4.2      Rasional Etika Dalam Hidup Insan

¨                   Rasullullah s.a.w. ikutan terbaik (uswah hasanah)
¨                   Disiplin dalaman
¨                   Panduan-panduan bertulis
¨                   Menentukan arah dan memberikan makna kepada pemikiran, tindakan dan tingkahlaku para pekerja bagi memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka sebagai pekerja.
¨                   Mencerminkan penyatuan dan piawaian perlakuan di antara warga organisasi dalam memberi sumbangan kepada organisasi, masyarakat dan negara.
¨                   Menetapkan standard bagi mendorong warga organisasi berkhidmat dengan ikhlas dan berkesan.
¨                   Membentuk sikap dan perilaku pentadbir yang terpuji di kalangan warga organisasi demi mencapai kecemerlangan organisasi, masyarakat dan negara.

2.4.3      Pengertian Istilah

¨                   Etika

Etika bermaksud norma-norma atau prinsip-prinsip akhlak berkaitan dengan baik dan buruk yang diamalkan dalam melakukan sesuatu urusan. Piawaian nilai baik dan buruk berasaskan syariat dengan merujuk kepada al-Quran dan al-sunnah. Dengan kata lain, etika dalam Islam adalah akhlak berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. 

¨                   Kerja

Kerja (action) pula sama dengan istilah amal dan sun’a dalam bahasa Arab. Istilah amal secara umumnya bermaksud perbuatan, yang dibezakan daripada ilmu. Istilah sun’a pula bermakna mencipta atau mengeluarkan sesuatu dalam ertika kesenian. Dalam istilah semasa sun’a dikenali sebagai industri atau perusahaan. Secara prinsipnya, kesusilaan kerja dalam Islam meliputi amal dan sun’a kerana syariat merangkumi seluruh perbuatan manusia (Nasr 1989:13).

¨                   Etika Kerja

Prinsip-prinsip moral yang ditetapkan oleh sesebuah  organisasi bagi mengawal tingkah laku pekerja ahli organisasi tersebut. Etika ini adalah satu bentuk  kawalan bagi memastikan perlakuan pekerja sentiasa selaras dengan sistem nilai organisasi berkenaan. Melalui prinsip-prinsip yang dinyatakan di dalam etika kerja, seseorang akan dapat mengetahui perbuatan-perbuatan yang dilarang dan perbuatan-perbuatan yang digalakkan oleh organisasi berkenaan (Ahmad Sarji 1991).

¨                   Etika Kerja Islam

Etika kerja ialah budaya kerja yang dilaksanakan berasaskan prinsip-prinsip akhlak dan menepati kehendak syariat sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.


2.4.4      Nilai dan Etika Kerja Islam

Manusia dalam melayari hidup, secara umumnya mesti mematuhi sekurang-kurangnya tiga perkara yang menjadi asas kerja harian mereka, iaitu :

¨                   ‘Ubudiyyah
¨                   Mas’uliyyah
¨                   Itqan




2.4.4.1          ‘Ubudiyyah
                                   
·         ‘Ubudiyyah selain daripada prinsip ia juga merupakan nilai yang perlu dan boleh dijadikan etika kerja seseorang Muslim.

¨       Pelaksanaan kerja berasaskan cUbudiyyah pada Allah SWT.
¨       Bekerja adalah ibadah. Ini sesuai dengan matlamat kejadian manusia yang dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT (al-Qur’an, al-Zariyah 51:56). Oleh itu semua urusan hidup mestilah memenuhi konsep pengabdian diri ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2:21):
Bermaksud: Wahai sekalian manusia! beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

¨       Pekerja dan organisasi yang baik akan menghubungkait dan mengimbangi semua aktiviti antara dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas (28:77):
Bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluanmu dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baik kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”.
                  
Allah SWT berfirman dalam surah al-Ala (87:16-17):
Bermaksud: (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu mengutamakan kehidupan dunia; pada hal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Rasullullah saw juga bersabda (lihat Sunan Ibn Majah, Kitab al-Tijarah, Hadith 2143, 1992:725).
Bermaksud: Manusia yang paling besar jiwanya ialah orang mukmin yang mengambil berat tentang urusan dunia dan akhiratnya.

¨       Mengutamakan yang fardu daripada yang sunat. Seyyed Hossein Nasr (1989:15) menegaskan:
Kerja berhubung rapat dengan solat dan amal lbadah. Solat membawa insan kepada keselamatan diri dan kebahagiaan jiwa (soul). Daripada kesejahteraan diri akan muncul perbuatan dan pekerjaan yang baik. Dalam kehidupan lslam, waktu bekerja diselang-seli oleh solat dan kegiatan budaya (istirehat). Dalam seni bina bandaraya tradisional,  ruang untuk solat, kerja, pendidikan dan kegiatan budaya dijalin secara harmoni dan disepadukan sebagai satu kesatuan (unity). Pekerja bergerak dari masjid ke tempat kerjanya dan menghentikan pekerjaannya berulang kali bagi menunaikan solat setiap hari. Keadaan ini meninggalkan kesan yang mendalam ke atas makna kerja itu sendiri, di mana ia memperolehi ciri keagamaan yang menentukan makna susila dalam lslam.

¨       Memenuhi Tuntutan Amar Ma`aruf Nahi Mungkar. Firman Allah SWT dalam surah al-Haj 
           (22:41; lihat juga Surah al-Baqarah ayat 201) dan surah al-Maidah (5:119):
Bermaksud: “..iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perbuatan yang mungkar; dan (ingatlah !) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

Bermaksud: Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.

2.4.4.2 Mas’uliyyah

¨       Perasaan bertanggungjawab terhadap kerja yang dilakukan. Perasaan bertanggungjawab tersebut bukan sahaja kepada pihak pengurusan tetapi kepada Pencipta iaitu Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Takathur (102:8):
Bermaksud: Sesungguhnya kamu akan ditanya, pada hari itu, tentang segala nikmat yang kamu telah menikmatinya.

Dalam Surah an-Najm (53:39; lihat juga al-Qiyamah 75:36; al-lsra’ 17:36; -Zalzalah 99:7-8) Allah SWT berfirman:
Bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.

¨       Memastikan tidak ada penyelewengan dalam organisasi sama ada dilakukan oleh pihak atasan atau bawahan dengan saling memberi peringatan dan nasihat antara satu sama lain. Sabda Rasullullah saw (Muslim, Kitab al-Iman, t.th:53)
Bermaksud: Agama itu nasihat. Para sahabat bertanya “kepada siapa nasihat itu?” Junjungan  menerangkan; “nasihat kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin-pemimpin kaum Muslimin dan juga kepada orang di bawahnya”.
Menghindari kemungkaran bukan tugas  ketua atau pihak pengurusan tertinggi (atasan) sahaja tetapi merupakan tugas bersama seluruh manusia yang melihat kemungkaran tersebut. Sabda Rasullullah saw  (Muslim, Kitab al-Iman, t.th:50):      

Bermaksud: Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran hendaklah ia mencegah kemungkaran tersebut dengan tangannya, sekiranya tidak mampu berbuat demikian hendaklah dicegah dengan perkataannya, maka jika ia tidak berkuasa berbuat demikian hendaklah ia mencegah dengan hatinya. Dan itu merupakan selemah-lemah iman.

¨       Taat Setia; patuh kepada organisasi dan pemimpin (Loyalty; Pride To Organisation And Leader). (Al-Qur’an,  al-Nisa’ 5:58). Sabda Rasullullah saw (Ibn Hajar al-cAsqalani, Kitab al-Ahkam 1959: 240) berbunyi:
Bermaksud: Setiap Muslim wajib di atasnya dengar dan taat setia dalam perkara yang disukai atau tidak disukai, maka apabila ia disuruh melakukan maksiat, ketika itu tidak harus ia dengar dan memberi taat setia.

Dalam hadith lain Rasullullah saw bersabda (lihat al-Musnad Ahmad ibn Hanbal, Hadith 1095 1995:67):
Bermaksud: Tidak ada taat setia kepada makhluk dalam perkara yang membawa penderhakaan kepada Allah SWT.

2.4.4.3 Itqan (Berkualiti)

¨       Kualiti bermaksud memenuhi keperluan (Oakland 1995:3). Memenuhi keperluan dalam Islam adalah dengan memenuhi tuntutan syariat. Ini bermakna kualiti dalam Islam bersifat menyeluruh (total quality), bukan hanya menyentuh daya pengeluaran (productivity) tetapi yang lebih penting ialah kualiti manusia yang melibatkan kualiti luaran dan dalaman sehingga menjadi aset penting kepada organisasi. Kualiti yang memperlihat kecemerlangan dalam semua aspek operasinya (Syed Omar 1994a:11) kerana memenuhi kehendak syariat.

¨       Pemimpin yang berkualiti adalah pemimpin yang menjadi model dan ikutan  kakitangan bawahan atau pengikutnya serta disegani oleh rakan sejawat. Dalam Islam model yang unggul dan tiada tolak bandingnya ialah Nabi Muhammad saw. Allah SWT mengiktirafnya sebagai uswah hasanah bagi mereka yang mengharapkan balasan baik dunia dan akhirat. Ini dirakamkan dalam surah al-Ahdhab (33) ayat 21:

Bermaksud: Demi sesungguhnya! adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

¨       Pemimpin hendaklah berlaku adil dan ihsan dalam tindakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl (16:90):

 Bermaksud:  Sesungguhnya Allah SWT menyuruh berlaku adil dan berbuat  kebaikan.

¨       Mengikut al-Mawardi  (1966: 66); keadilan bererti bercakap benar, jelas kejujuran (amanah), menjauhi  yang haram, memelihara diri dari terjerumus ke dalam dosa, menjauhi syubahat, tenang dalam menghadapi kesukaan dan kemarahan (tidak dikuasai oleh perasaan kasih dan marah terhadap sesuatu), dan menjaga maruah dalam urusan keagamaan dan  keduniaan.

¨       Pekerja berkualiti adalah pekerja yang tekun berusaha, cekap, kuat, rajin, suka membantu orang lain, jujur, amanah, tepat janji, ringan tulang, dan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan.  Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas (28:26; lihat juga al-Mulk 67:2; al-Baqarah 2:148):
Bermaksud: sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu (ayah) ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”.

¨       Seterusnya mereka menjaga batas-batas hubungan dan pergaulan antara lelaki dan wanita (al-Mu’minun 23:5-6), menutup aurat (al-Ahdhab 33:59; al-Nur 24:30-31), mempunyai hubungan mesra (al-Furqan 25:63), tidak  angkuh, sombong dan megah diri dengan jawatan (Luqman 31:18-19), tidak mencela, mengumpat, mencaci, mencari kelemahan orang lain, menfitnah dan syak wasangka (al-Hujurat 49:11-12), sentiasa berhati-hati menerima sesuatu berita dengan menapis dan menyelidiki kebenarannya, terutama berita yang dibawa oleh orang fasik (al-Hujurat 49:6), di samping itu mereka mengotakan apa yang dikata, kerana amat berat siksaan Allah SWT bagi mereka yang pandai bercakap tetapi tidak mengerjakan apa yang diucapkan (al-Qur’an, al-Saf 61:2-3):


Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebencian di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

¨       Perhubungan atau komunikasi  dengan masyarakat luar dijalin dengan cara yang efektif, baik, penuh hormat dan membalas penghormatan yang diterima dengan lebih baik. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ (4:86; lihat juga al-Furqan 25:63) :

Bermaksud: Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu ucapan hormat (seperti memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap-tiap sesuatu.

¨       Pekerja yang berkualiti akan menghasilkan produktiviti yang berkualiti, elok dan menyenangkan bukan sahaja kepada organisasi atau dirinya malah mengutamakan kehendak pelanggan. Firman Allah SWT (al-Qur’an, al-Baqarah 2:168 & 172) :

Bermaksud: Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu.

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman!  makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal)  yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

¨       Menjadi naluri manusia inginkan barangan/perkhidmatan yang terbaik, lebih-lebih lagi umat Islam. Allah SWT memerintah mereka supaya  menggunakan barangan dan perkhidmatan yang halal lagi baik. Barangan sedemikian sudah pasti berpunca daripada sumber dan cara proses yang menepati kehendak Islam. Semua pekerja mestilah menghasilkan barangan/perkhidmatan yang terbaik dan dengan cara terbaik sebagaimana mereka mengharapkan barangan/perkhidmatan yang berkualiti daripada organisasi lain. Dengan demikian penghasilan mereka diiktiraf dan dimanfaat oleh para pelanggan. Penghasilan berkualiti menepati kehendak hadis Nabi saw  (Sahih Muslim bi-sharh al-Nawawi, Kitab al-Saidi wa al-dhaba’ihi, t.th: 106-107):
...

Bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan kebaikan pada tiap-tiap suatu.

Dalam hadith lain Baginda saw telah bersabda (lihat al-Baihaqi, Bab al-Amanah, Hadith 5313 & 5315 1990:334-335):

Bermaksud: Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat suatu kerja dengan itqan (berkualiti).

Bermaksud: ...Allah suka  seseorang pekerja apabila bekerja ia sentiasa membaiki mutu (prestasi) perkhidmatannya.

¨       Kreatif dan inovatif tetapi tidak mengabaikan nilai-nilai kebaikan dan estetika ( lihat al-Qur’an, al-Nahl 16:14;80 dan 81; Fusilat 41:39; al-Mulk 67:15; Noh 71:19-20). Seandainya etika ini tidak dipatuhi, akan wujud berbagai kerosakan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Rom (30:41):

Bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). 

¨       Muhasabah diri (Self-Critism) dan kerja yang diusahakan.
Saidina Umar berpesan:
Bermaksud: Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, dan bersiaplah untuk menghadapi pembentangan yang  besar. Sesungguhnya hisab (perhitungan) yang ringan pada hari kiamat ialah bagi sesiapa yang menghitung (menghisab) dirinya di dunia (Abdul Rauf 1991:142).

Dalam surah al-Hashr (59:18; lihat juga surah al-Zariyah 51:21) Allah SWT berfirman :

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan); bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan“.

2.4.5    Lain-lain Nilai dan Etika

¨       Selain daripada nilai dan etika di atas, banyak lagi nilai dan etika lain yang digariskan oleh para pengurus dalam menetapkan nilai dan etika yang perlu untuk dihayati oleh organisasi mereka.

¨       Jabatan Perkhidmatan Awam misalnya memperkenalkan tonggak 12 sebagai mana yang terdapat dalam buku “Tonggak Dua Belas” dan buku “Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam”.

¨       Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah secara umumnya telah menggariskan 5 nilai dan etika kerja yang boleh dihayati oleh para pekerja di Malaysia, iaitu:

1.    Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah
2.    Bekerja dengan ikhlas dan amanah
3.    Bekerja dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh
4.    Bekerja dengan semangat gotong-royong atau bekerjasama dan mesyuarat serta berpadu fikiran
5.    Bekerja dengan matlamat kebahagiaan manusia sejagat.


2.4.6    Kesimpulan

Etika kerja Islam menekankan aspek pembangunan sumber tenaga (manusia) yang meliputi jasmani (jasad), spiritual (roh) dan intelektual (akal). Ketiga-tiga unsur ini perlu dibangunkan serentak dan bersepadu. Unsur luaran (fizikal) yang hebat, penyediaan alat yang sofistikated dan daya intelektual (ilmu) yang tinggi, tidak akan dapat membawa kecemerlangan  seandainya spiritual (roh dan hati) tidak disemai dengan norma-norma dan nilai-nilai mahmudah (Osman 1989). Rasullullah saw menjelaskan hakikat ini dalam hadithnya (al-Bukhari, Kitab al-Iman, Hadith 48, t.th.: 50) yang berbunyi:


Bermaksud: Sesungguhnya dalam jasad manusia ada sepotong daging, jika ia elok, maka eloklah seluruh tubuh badan itu. Dan sekiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh badan tersebut. Ia adalah  “al-qalb”.



No comments:

Post a Comment